BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 20, 2010

REFLEKSI >>> DPLI UKM JUL '09

A) KURIKULUM

Segala teori yang telah dipelajari dalam subjek-subjek yang perlu diambil sepanjang DPLI banyak membantu saya menyelesaikan tugasan semasa latihan mengajar di mana guru-guru praktikal diberi pelbagai jawatan dalam jawatankuasa sesuatu majlis atau program yang ingin pihak sekolah adakan.Sebagai contoh,subjek pengurusan ko-kurikulum dan sukan banyak membantu saya semasa menjadi pegawai teknikal untuk beberapa acara padang dan balapan.

Subjek yang amat membantu saya semasa menjalankan proses P&P ialah Kaedah Mengajar, Psikologi Pendidikan, dan Kajian Tindakan terutama dalam merancang pengajaran saya dan melakukan proses penambahbaikan terhadap proses P&P yang saya kendalikan. Saya dapat bereksperimentasi dengan pelbagai kaedah,strategi,pendekatan dan teori dalam pengajaran.Situasi ini telah mengajar saya bahawa kerjaya sebagai seorang guru amat menarik dan bermakna kerana guru perlu sentiasa kreatif dalam teknik pengajaran mereka dan perlu sentiasa peka dengan ilmu-ilmu pendidikan semasa yang sentiasa berkembang dan berevolusi.

Subjek-subjek berkaitan masalah pembelajaran pula banyak memberi saya maklumat untuk mengenali pelajar-pelajar saya. Saya dapat mengenali pelajar melalui ciri-ciri fizikal mereka dan juga tingkah laku yang mereka pamerkan. Namun begitu, pengetahuan saya dalam bidang pendidikan khas masih terlalu sedikit terutamanya dalam menyediakan aktiviti atau strategi pengajaran yang dapat membantu meningkatkan potensi diri pelajar bermasalah pembelajaran. Saya perlu mendalami kaedah-kaedah pengajaran yang bersesuaian dan efisien bagi pelajar-pelajar ini. Saya perlu melanjutkan pelajaran ke tahap Masters dalam bidang pendidikan khas untuk menjadi seorang guru pendidikan khas yang dapat menyumbang kepada bidang ini.


Subjek RDK pula memberikan pengalaman yang tidak ternilai kerana program RDK yang telah dijalankan di Besut, Terengganu ini telah berjaya menimbulkan sifat prihatin dalam diri saya terhadap golongan kurang upaya dan menimbulkan 'chemistry' antara diri saya dengan pelajar-pelajar khas tersebut. Secara tidak langsung, program ini telah menyediakan saya untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran semasa latihan mengajar di sekolah.


B) KO-KURIKULUM (termasuk BIP)

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bergelar pelajar DPLI UKM banyak mengubah diri saya dari jasmani, emosi, rohani dan sosial. Sebagai contoh, sewaktu BIP dijalankan di Pangkor, saya telah mengalami situasi yang amat menakutkan dimana saya tidak sedar bahawa saya mengalami 'anxiety' yang menyebabkan saya mengalami 'palpitation' yang mengakibatkan saya letih,sesak nafas, sakit dada dan berasa hendak pitam. Walau bagaimanapun,saya tetap menjalankan beberapa aktiviti iaitu 'abseiling' dan jungle tracking. Semasa menjalankan aktiviti ini, rakan-rakan sekumpulan amat mengambil berat dan banyak membantu saya semasa diserang anxiety. Sifat kerjasama serta prihatin yang mereka tunjukkan merupakan bukti bahawa pelajar-pelajar DPLI merupakan individu yang mempunyai sahsiah yang baik untuk menjadi seorang guru.Situasi yang saya lalui juga mengajar saya untuk banyak bersabar dan redha serta bertawakkal kepada Allah S.W.T. Segala yang saya lalui merupakan ujian daripada-Nya untuk menjadikan saya insan yang lebih kuat. Ujian yang saya hadapi juga memberikan saya ilmu yang baru di mana saya dapat memahami dan mempunyai sifat empati terhadap pelajar-pelajar saya yang turut mempunyai simptom-simptom anxiety. Secara tidak langsung, saya dapat membantu salah seorang pelajar dalam kumpulan saya sewaktu program RDK untuk mengatasi masalah 'anxiety'. Pelajar tersebut takut untuk berada di kawasan terbuka namun saya memujuknya untuk berhadapan dengan situasi yang ditakuti beliau dalam usaha mengatasi perasaan 'anxiety' tersebut. Hal ini juga menyedarkan saya bahawa persepsi sesetengah masyarakat yang melabelkan golongan ini sebagai gila adalah tidak benar sama sekali. Apa yang dialami oleh pesakit adalah amat benar sekali bagi mereka tetapi dilihat tidak logik bagi orang lain. Mereka sebenarnya dapat dibantu dan boleh dirawat dengan terapi tingkah laku kognitif untuk berfungsi seperti biasa. Hal ini telah memberi sedikit pengetahuan kepada saya untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar saya kelak dan membantu saya menjadi seorang guru yang lebih dekat dengan pelajar.

Selain itu, aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan juga banyak membantu saya mengasah kemahiran berkomunikasi saya dan meningkatkan kemahiran bersosial dengan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti sukan yang dijalankan pula meningkatkan kesihatan jasmani dan melengkapkan diri kami dengan kemahiran-kemahiran dalam bidang sukan yang perlu untuk menjadi guru yang versatil.Secara keseluruhannya, program DPLI UKM telah melengkapkan diri kami dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna untuk diaplikasikan semasa menjalankan tanggungjawab kami sebagai pendidik di sekolah nanti.

Thursday, December 10, 2009

Aktiviti 13 : Tugasan 4 Mini KT

Berdasarkan kursus psikologi pendidikan / kaedah mengajar / pentaksiran pembelajaran

a) Apakah teori-teori, strategi, kaedah yang boleh diguna @ diadaptasi bagi setiap masalah
b) Bina kerangka teoritikal, konseptual, operasional kajian

hendaklah selaras dengan pernyataan masalah dan tujuan /objektif/soalan kajian

Teori/kaedah/strategi yang dapat digunakan bagi mengatasi masalah dalam pengajaran subjek kami ialah :

i) Teori konstruktivisme
ii)Pendekatan kontekstual
iii) Pembelajaran secara aktif (active learning)

Teori konstruktivisme
-Suatu penjelasan bagaimana pelajar belajar dan membina pemahaman yang bermakna tentang alam sekeliling mereka.
-Melibatkan pengetahuan yang dibina secara aktif oleh pelajar dan pelajar bukan penerima pasif pengetahuan. Pelajar merupakan pembina aktif (konstruk) struktur pengetahuan.
-Teori ini bukan tentang pemerolehan idea baru tetapi tentang pelajar membina atau mengubah idea mereka yang sedia ada.
-Pelajar membina pengetahuan Sains yang baru dengan cara mereflek tindakan fizikal dan mental mereka.
-Pelajar cuba mendapatkan pemahaman tentang pengalaman baru mereka dan fenomena dengan cara membentuk atau membina makna tentang perkara tersebut.
-Pelajar membina atau membentuk idea baru dan bukan menerima idea tersebut dan pelajar menjana secara aktif makna daripada setiap satu pengalaman yang dilalui.
-Untuk belajar, pelajar perlu mengasimilasikan idea baru atau menyesuaikan (accomodate) idea yang sedia ada.

Pendekatan Kontekstual
-
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on.
-
Pembelajaran berlaku apabila murid dapat memproses maklumat atau pengetahuan baru dengan cara yang bermakna kepada mereka. Minda seseorang akan cuba mencari makna dalam konteks dengan membuat hubung kait yang bermakna dan relevan dengan persekitarannya. Pendekatan ini menumpukan kepada kepelbagaian aspek persekitaran pembelajaran sama ada di bilik darjah, makmal, tempat kerja atau kehidupan seharian. Pendekatan ini menggalakkan pendidik memilih atau mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangkumi pelbagai pengalaman sama ada dalam konteks sosial, budaya, fizikal atau psikologi untuk mendapatkan hasil pembelajaran yang dihasratkan.


Kerangka Teoritikal

Kerangka teoritikal menentukan persoalan kajian yang hendak dilakukan. Ia menjadi panduan bagi menentukan orientasi penyelidikan yang akan dilakukan. Ia juga mengenal pasti apa yang menjadi minat pengkaji, soalan-soalan yang berlegar-legar di mindanya dan yang menjadi teka-teki.Satu kaedah untuk menentukan kerangka pemikiran ialah melalui tinjauan literasi dengan pembacaan yang berkait rapat dengan tajuk yang sedang dikaji. Tajuk jurnal, kata kunci dan maklumat-maklumat lain yang didapati sepanjang pencarian berkenaan, penyelidik akan berjumpa dengan konsep, model dan teori yang berbagai-bagai jenis. Yang boleh dibuat ialah memberi pengkelasan terhadap hasil dapatan tersebut untuk menjadi kunci utama kepada kerangka teoritikal nanti.

Perkara yang harus diberi perhatian ialah semua aspek kajian akan mendapat kesan daripada kerangka teoritikal yang telah dibentuk tadi. Ciri-ciri kerangka teoritikal yang baik meliputi:-
  • Membantu penyelidik mengenal pasti topik yang hendak dikaji.
  • Panduan mencari kajian-kajian lepas.
  • Memilih aspek yang difokus.
  • Merapatkan jurang di antara maklumat yang diketahui dan tidak diketahui.
  • Memberi panduan kepada pengkaji memilih responden yang sesuai.

Kerangka Teoritikal

Teori Konstruktivisme --->Pendekatan Kontekstual



Kerangka Konseptual

Penglibatan Aktif Pelajar
^
'
'
Kefahaman Pelajar < -- 'Experiential Learning' - ->Minat Pelajar
(Active Learning)
^
^
Pendekatan Kontekstual
^
^
^
Teori Konstruktivisme


Kerangka Operasional Kajian


Pembelajaran Aktif (Active Learning)

'
'
v
Pembahagian Kumpulan Kooperatif
(Dilaksanakan oleh guru berdasarkan pencapaian dan tingkah laku pelajar)

'
'
v

Pelaksanaan Aktiviti
(Penggunaan Bahan Maujud)
'
'
v
Pemerhatian
(Guru merekod menggunakan video dan jurnal harian guru)
'
'
v
Penilaian
(Berdasarkan Ujian/Kuiz dan Temubual Tidak Berstruktur)
'
'
v
Refleksi
(Bagaimana pembelajaran kooperatif dan penggunaan bahan maujud memberi kesan positif)

Aktiviti 12 : Pemurnian

Berdasarkan maklum balas, buat penambahbaikan pernyataan masalah, tujuan dan objektif kajian.

MATLAMAT/TUJUAN
> Meningkatkan kefahaman pelajar dan penglibatan aktif pelajar sewaktu proses P&P berlangsung dalam subjek Sains dan Perdagangan.

OBJEKTIF KAJIAN
>Meningkatkan tahap kefahaman pelajar bagi subjek Perdagangan dan Sains melalui penggunaan bahan maujud.
>Meningkatkan minat pelajar semasa proses P&P berlangsung melalui kaedah pembelajaran kooperatif.
>Mewujudkan penglibatan aktif pelajar sewaktu proses P&P dijalankan.

PERSOALAN KAJIAN
>Bagaimanakah pengajaran berasaskan bahan maujud mampu meningkatkan kefahaman pelajar bagi subjek Sains dan Perdagangan?
>Bagaimanakah pembelajaran secara kooperatif boleh meningkatkan penglibatan aktif pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran?

PERNYATAAN MASALAH
>Pelajar masa kini kurang berminat dengan kaedah pengajaran tradisional atau berunsurkan "chalk and talk" yang hanya melibatkan komunikasi sehala. Pelajar dilihat mengantuk dan tidak fokus semasa guru menyampaikan isi pelajaran.Pelajar tidak dicabar dari segi kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta tidak diberi galakan untuk sentiasa menggilap kemahiran berkomunikasi atau 'soft skill" yang lain. Aktiviti P&P yang dijalankan oleh guru juga tidak memberi pendedahan kepada pelajar tentang bagaimana untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari ke dalam kehidupan seharian atau semasa alam pekerjaan. Aktiviti yang dijalankan juga tidak melatih pelajar untuk bekerja dalam kumpulan secara efektif dan mendatangkan manfaat kepada setiap individu dalam kumpulan.

Aktiviti 11 : Tugasan 2 : Jurnal

Berdasakan 3 jurnal, lihat :
a) Apa pernyataan masalah dalam kajian?
b) Bagaimana mereka melapor pernyataan masalah.

Supporting Academic Improvement among Eighth Graders at Risk for Retention: An Action Research Intervention

By : E. C. M. Mason (DePaul University), H. George McMahon (University of South Alabama)


Jurnal ini membincangkan tentang program intervensi untuk pelajar yang berisiko untuk kekal di tingkatan yang sama. Kenaikan pelajar dan pengekalan pelajar di tingkatan yang sama menjadi isu utama yang dibimbangkan oleh staff sekolah, dan guru menyatakan kekecewaan mereka dengan pelajar gred 8 yang menunjukkan tingkah laku yang kurang baik terhadap pelajaran seperti tugasan yang tidak dihantar, menghantar kerja yang tidak lengkap dan tabiat belajar yang tidak memberangsangkan.



Teacher Misconceptions and Understanding of Cooperative Learning : An Intervention Study

By : Mary Koutselini (University of Cyprus, Nicosia, Cyprus)

Pengkaji menyedari betapa sukar untuk menggunakan pembelajaran kooperatif sebagai medium untuk mencapai matlamat serta objektif pengajaran mereka. Keengganan mereka menggunakan pembelajaran kooperatif dipengaruhi juga sikap negatif rakan sekerja yang lebih berpengalaman. Daripada perbincangan yang dijalankan mendedahkan bahawa guru-guru tidak menggunakan pembelajaran kooperatif kerana ia memakan masa dan tidak memberi kesan terhadap pembelajaran pelajar. Sikap negatif ini timbul daripada salah tanggapan bahawa pembelajaran kooperatif menyamai kerja kumpulan yang ringkas, di mana hanya sesetengah pelajar bekerja/bergerak secara aktif manakala yang lain hanya menghafal jawapan atau turut menerima pujian juga walaupun bersikap pasif.




PERCEPTIONS OF SATISFACTION AND DEEPER LEARNING IN AN ONLINE COURSE

By : Leah E. Wickersham (Texas A&M University), Patricia McGee (University of Texas)


Jurnal ini membincangkan sejauhmana prinsip pembelajaran secara mendalam (deeper learning principles) terbukti hadir dalam kursus yang dijalankan secara ‘online’ dengan menggunakan instrumen bancian ‘Distance Education Learning Environments Survey’. Kajian ini juga mengkaji sama ada pelajar berpuas hati atau tidak dengan kursus yang dijalankan secara ‘online’. Melalui pedagogi yang sesuai terdapat kemungkinan yang besar bahawa pelajar dapat terlibat secara aktif melalui interaksi dan komunikasi dalam pembinaan pengetahuan secara 'online', dan sekaligus merapatkan jurang dari segi pencapaian akademik antara kursus 'face-to-face' dan kursus secara 'online'.

  1. Bentang beberapa jurnal (beberapa individu akan dipanggil)
  2. Fokus kepada bagaimana data dari pelbagai sumber dan teknik dianalisis




Aktiviti 10 : Tugasan 1 : Buku

Berdasarkan buku yang anda baca, bincangkan tentang "Mengenal pasti masalah kajian tindakan"

Intipati utama bagi kajian tindakan yang dilaksanakan oleh guru merangkumi isu yang menjadi kepentingan seseorang guru itu. Guru akan melihat semula apakah nilai dan kepercayaan yang menjadi asas kepada pengajaran dan pembelajaran. Guru dapat melihat beberapa kemungkinan bidang fokus yang menarik perhatian mereka untuk dijadikan kajian.
Beberapa soalan yang dapat ditanyakan pada diri guru itu sendiri adalah seperti berikut:
1. Apakah isu penting berkaitan politik, sosial, dan ekonomi yang dapat dikaitkan dengan pengajaran di dalam bilik darjah?
2. Apakah keraguan yang ada pada diri anda sebagai seorang guru terhadap pengajaran dan pembelajaran?
3. Apakah proses-proses, isu-isu, dan dilema yang anda harapkan dapat anda fahami dengan lebih baik?
4. Apakah terdapat situasi-situasi di dalam kelas yang membuatkan anda tidak berpuas hati?
5. Adakah anda terfikirkan kemungkinan yang terjadi sekiranya sesetengah tingkah laku atau tindakan ditunjukkan di dalam kelas anda?
6. Apakah isu dan cabaran lain yang timbul secara peribadi semasa anda mengajar?
7. Apa yang anda ingin capai sebagai seorang guru?
8. Apakah kemahiran, pengetahuan dan kemantapan emosi yang perlu ada pada anda untuk menjadi seorang guru?

  1. Bentang buku (beberapa individu yang dipanggil secara rawak)
  2. Fokuskan bagaimana data dari pelbagai sumber dan teknik dianalisis.

Saturday, November 21, 2009

MINI KAJIAN TINDAKAN

AKTIVITI 9 : Tugasan 4 Mini Kajian Tindakan

Dalam pasukan binakan :
1) Matlamat kajian tindakan (satu ayat / penyataan umum apa yang hendak dicapai di akhir kajian)
2) Bentuk objektif kajian
3) Bentuk soalan kajian

MATLAMAT KAJIAN TINDAKAN

“Menambahbaik kaedah tradisional sekaligus meningkatkan kefahaman pelajar terhadap subjek Perdagangan dan Sains.”

OBJEKTIF KAJIAN

  • Menilai tahap kefahaman pelajar terhadap subjek Perdagangan dan Sains.
  • Meneroka minat dan kelakuan pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku.
  • Memantau cara penerimaan pelajar terhadap pendekatan yang digunakan.

PERSOALAN KAJIAN

  • Adakah pengajaran berasaskan bahan maujud mampu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap subjek Perdagangan dan Sains?
  • Adakah pembelajaran secara kooperatif boleh meningkatkan penglibatan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran?


AKTIVITI 8 : Tugasan 4 Mini Kajian Tindakan


Berdasarkan tajuk kajian, huraikan– cadangan untuk mengatasi kelemahan pengajaran-pengajaran subjek berkenaan berdasarkan :-

Pengalaman/Refleksi (Individu&Pasukan)

• Penggunaan pelbagai kaedah pengajaran untuk menarik minat pelajar terhadap subjek Sains dan Perdagangan.
• Contohnya, menggunakan bahan maujud di dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek samada melalui bentuk multimedia atau konvensional.
• Memperbanyakkan aktiviti di dalam kelas untuk meningkatkan minat dan mengurangkan perasaan jemu pelajar terhadap subjek yang di ajar.
• Melakukan aktiviti secara berkumpulan untuk meningkatkan penglibatan pelajar dan mengasah kemahiran komunikasi di kalangan mereka.
• Bagi subjek perdagangan, latih pelajar untuk melibatkan diri di dalam aktiviti jualan terutama ketika sekolah melakukan sambutan seperti Hari Guru, Hari Kemerdekaan, Hari Kantin dan lain-lain lagi.
• Bagi subjek Sains, guru perlu mendapatkan atau menyediakan pelbagai model atau replika sebagai bahan maujud yang dapat meningkatkan kefahaman pelajar dan memberikan gambaran yang jelas serta nyata terhadap sesuatu perkara.

Pengalaman/Refleksi Dari Luar Pasukan

Untuk mengatasi masalah yang dihadapi dalam pengajaran kedua-dua subjek ini, guru berperanan dalam membuka minda pelajar dan mendedahkan pelajar tentang subjek ini dalam konteks kehidupan seharian masa kini. Guru perlu membentuk pengajaran yang dapat meningkatkan minat pelajar terhadap subjek tersebut. Pembelajaran juga seharusnya melibatkan pelajar berusaha sendiri dalam mendapatkan dan membina/menstruktur ilmu pengetahuan melalui pengalaman (menjalankan amali/lawatan) dan pengetahuan.






AKTIVITI 7 : Aktiviti 4 Mini Kajian Tindakan


Berdasarkan tajuk kajian, huraikan- KELEMAHAN pengajaran-pengajaran subjek berkenaan berdasarkan :

Pengalaman/Refleksi Secara Individu
  • Pelajar tidak mengetahui teknik yang berkesan dalam memahami dan mengingat teori, fakta dan rumus yang banyak terutama dalam subjek Sains.
  • Pelajar kurang berminat dan tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan eksperimen di dalam makmal.
  • Pelajar tidak tahu mengaplikasikan apa yang dipelajari ke dalam situasi lain yang baru/kehidupan seharian.
Pengalaman/Refleksi Dalam Pasukan

• Pelajar cepat bosan dan merasa mengantuk apabila guru mengajar kaedah tradisional dengan membaca dan menerangkan sesuatu topik tanpa melibatkan aktiviti.
• Bagi subjek Sains, pelajar tidak berminat dengan belajar teori sahaja tanpa latihan amali kerana terdapat segelintir guru yang malas untuk melakukan latihan amali di makmal Sains.
• Subjek Perdagangan boleh menjadi subjek yang membosankan jika guru tidak menggunakan pendekatan lain untuk menarik minat pelajar.
• Ramai guru hanya menggunakan kaedah tradisional di dalam pengajaran mereka dan ia membuatkan pelajar cepat jemu dan mengantuk.

Pengalaman Dari Luar Pasukan

Kedua-dua subjek Sains dan Perdagangan memerlukan pelajar menguasai fakta dan teori yang banyak menyebabkan pelajar lebih cenderung untuk menghafal sahaja dan menumpukan pada nota dan membaca buku. Pelajar juga kurang pendedahan kepada pengaplikasian ilmu ke dalam kehidupan seharian terutama dalam bidang kerjaya menyebabkan pelajar tidak bermotivasi untuk mendalami subjek berkenaan atas inisiatif diri sendiri. Pelajar tidak aktif tetapi lebih bergantung kepada guru dan tidak berusaha mendapatkan ilmu berkaitan subjek tersebut daripada sumber-sumber lain.





AKTIVITI 6 : Tugasan 4 Mini Kajian Tindakan


Berdasarkan tajuk kajian, huraikan– KEKUATAN pengajaran-pengajaran subjek berkenaan berdasarkan :-

Pengalaman/Refleksi Secara Individu

Bagi Subjek Sains :

1. Melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran saintifik dan dapat berfikir secara kreatif dan kritis.
2. Memberi pengetahuan berkaitan sains dan teknologi dalam konteks fenomena alam
semulajadi dan pengalaman dalam kehidupan seharian.
3. Melatih pelajar mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan dalam bentuk yang kreatif serta kritis untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
4. Menyedarkan pelajar tentang kepentingan saling pergantungan antara benda hidup dan
pengurusan alam sekitar demi menjamin dan meneruskan kehidupan manusia di bumi ini.
5. Mewujudkan kesedaran tentang kepentingan dalam memelihara dan mencintai alam sekitar dan memainkan peranan yang aktif untuk memulihara dan memelihara alam sekitar.
6. Melatih pelajar membuat penilaian yang bijak dan efektif terhadap sebarang maklumat berkaitan sains dan teknologi.

Bagi Subjek Perdagangan :

1. Guru membuat demonstrasi apabila mengajar sesuatu topik misalnya tajuk system
barter.
2. Guru memberi contoh-contoh yang membolehkan pelajar mudah faham.
3. Sewaktu guru mengajar topik dokumen perniagaan dalam negeri, guru membawa dokumen
sebenar yang terlibat seperti cek, invois dan sebagainya.
4. Guru membuat pertandingan kuiz secara berkumpulan
5. Terdapat juga guru yang membawa keratan akhbar yang berkaitan untuk dibincangkan.

Pengalaman/Refleksi Dalam Pasukan

• Perdagangan dan Sains adalah subjek penting di sekolah untuk menentukan aliran yang akan dipilih untuk memasuki universiti terutamanya selepas peperiksaan SPM.
• Subjek perdagangan boleh meningkatkan minat pelajar di dalam bidang keusahawanan.
• Minat serta kemahiran pelajar bertambah apabila guru melakukan ujian di makmal bagi subjek sains kerana ianya tidak membosankan berbanding guru hanya menerangkannya sahaja dan pelajar dapat menjalankan amali secara ‘hands-on’.

Pengalaman Dari Luar Pasukan

Pengajaran subjek ini akan menjadi lebih menarik dan bermakna sekiranya lebih banyak aktiviti yang melibatkan pelajar secara aktif disediakan oleh guru. Subjek-subjek ini juga akan lebih menarik sekiranya guru dapat menyediakan bahan bantu mengajar yang dapat dipegang dan dilihat oleh pelajar secara dekat atau 'live'. Penglibatan pelajar secara langsung dalam menyediakan bahan yang digunakan dalam pengajaran juga akan membuatkan pelajar lebih terlibat dan bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka.







AKTIVITI 5 : Mengapa Guru Lakukan Kajian Tindakan & Nyatakan Sebab Mengapa Pilih Tajuk Berkenaan?

Mengapa Guru (pelatih/novis/berpengalaman)Perlu Melakukan Kajian Tindakan?

  • Mengeluarkan guru-guru daripada amalan-amalan rutin mereka.
  • Meningkatkan profesionalisme bidang perguruan kerana guru mempunyai hakmilik (ownership) dalam memperkenalkan amalan-amalan yang berkesan.
  • Membawa kemajuan dan perubahan dalam kerjaya guru melalui refleksi kendiri dan usaha diri sendiri.
  • Dapat memperbaiki prestasi kerja dan mencapai kepuasan diri dalam kerjaya yang diceburi.
  • Meningkatkan keyakinan diri melalui usaha perkongsian pengalaman dengan guru-guru lain.
  • Memperkembangkan kemahiran guru khususnya dalam melaksanakan teknik atau kaedah pembelajaran yang berkesan.
  • Memberi peluang kepada guru untuk melaksanakan pendekatan yang dapat meningkatkan akademik serta disiplin pelajar dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek.
Kami memilih tajuk "PEMBELAJARAN KOOPERATIF BERASASKAN BAHAN MAUJUD DI DALAM SUBJEK PERDAGANGAN DAN SAINS" kerana ia dapat :

1) Meningkatkan penglibatan aktif pelajar kerana semua pelajar akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bertanggungjawab terhadap pencapaian kumpulan masing-masing.

2) Memupuk sifat kerjasama antara pelajar kerana setelah pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan, setiap ahli kumpulan berperanan untuk memberikan idea masing-masing bagi mencapai matlamat pembelajaran dan memaksimumkan pembelajaran setiap individu.

3) Meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar kerana pelajar dikehendaki menyuarakan pendapat dan buah fikiran masing-masing bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.

4) Membantu pemahaman para pelajar terhadap sesuatu topik kerana bahan maujud ini sendiri adalah bermaksud barang yang wujud, oleh itu barang yang nampak secara fizikal akan lebih "real" dan bahan maujud juga boleh berbentuk multimedia di mana di mana penggunaan video digunakan untuk menunjukkan contoh-contoh bahan maujud yang sukar di bawa ke dalam kelas.

5) Melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran.

6) Setiap kumpulan akan berusaha menyelesaikan permasalahan untuk menerapkan pengetahuan dan keterampilan dalam rangka mencapai tujuan pembelajaran.

Selain itu, pembelajaran kooperatif merupakan model pembelajaran yang mengutamakan pembelajaran secara berkumpulan dan ia merupakan pembelajaran yang melibatkan pelajar bekerjasama untuk belajar dan bertanggungjawab ke atas setiap ahli kumpulannya. Aktiviti pembelajaran berlaku dalam kumpulan heterogenus, iaitu tidak sama dari segi kebolehan, minat, bangsa dan agama. Pembelajaran koperatif biasanya berlaku dalam kumpulan di mana terdapat pelajar cerdas dan lambat.

Bahan maujud adalah berbentuk multimedia dan juga konvensional. Bahan maujud berbentuk konvensional banyak digunakan oleh guru di dalam proses pengajaran dan pembelajaran namun penggunaan multimedia adalah sebagai penggubah haluan dan meningkatkan minat pelajar supaya mereka tidak berasa bosan dengan pembelajaran tradisional yang menggunakan konsep yang sama sahaja.



AKTIVITI 4 : Cadangan Mini Kajian Tindakan

Bersama pasangan anda, kemukakan apakah cadangan mini kajian tindakan yang anda ingin lakukan dalam pengajaran mikro yang mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kami mencadangkan tajuk seperti di bawah untuk mini kajian tindakan kami iaitu :

PEMBELAJARAN KOOPERATIF BERASASKAN BAHAN MAUJUD DI DALAM SUBJEK PERDAGANGAN DAN SAINS

SIAPAKAH PESERTA KAJIAN?

Pelajar sekolah menengah

DI MANAKAH SETTING KAJIAN?

Di dalam kelas








Aktiviti 2 : Ulasan Jurnal

Journal 1

Supporting Academic Improvement among Eighth Graders at Risk for Retention: An Action Research Intervention

By : E. C. M. Mason (DePaul University), H. George McMahon (University of South Alabama)

PERSOALAN KAJIAN :

1.Adakah pelajar-pelajar yang berisiko untuk kekal di tingkatan yang sama yang mengikuti program intervensi (intervensi kajian tindakan)berjaya meningkatkan gred kursus mereka dan meningkatkan kesediaan mereka untuk menduduki peperiksaan peringkat negeri, seterusnya mengurangkan bilangan pelajar yang kekal di tingkatan yang sama?

2.Adakah penumpuan terhadap kemahiran kejayaan akademik pelajar dapat meningkatkan prestasi pelajar dari segi gred mereka?

SAMPEL DAN SETTING KAJIAN :

Projek kajian tindakan ini dijalankan di sebuah sekolah di kawasan bandar. Hanya 33 orang pelajar daripada 52 orang yang disenaraikan sebagai berisiko bersetuju mengikuti program intervensi ini. Program ini tidak melibatkan pelajar yang menerima perkhidmatan khas (pelajar khas).

METODOLOGI :

1.Pelajar diminta hadir ke perjumpaan orientasi dengan kaunselor/penyelidik dan diterangkan tentang rasional, motivasi dan objektif intervensi ini.
2.Pelajar yang terlibat dalam kajian ini akan menghadiri perjumpaan dengan kaunselor dalam kumpulan kecil (n=7) pada setiap minggu. Sesi berkumpulan selama 30 minit ini melibatkan perbincangan tentang pencapaian pelajar dalam ujian,kuiz,projek, dan kerja sekolah. Kaunselor juga menekankan tentang kemahiran untuk berjaya di sekolah.
3.Pelajar juga berjumpa dengan kaunselor secara individu pada minggu-minggu berselang seli untuk mengulas berkenaan gred terkini dan menekankan perkara yang dibincangkan semasa sesi berkumpulan. Sesi ini juga bertujuan membincangkan masalah pelajar dan memotivasikan pelajar.
4.Selain intervensi secara langsung bersama kaunselor/penyelidik, pelajar juga ditawarkan menghadiri perkhidmatan tutor 2 kali seminggu, kehadiran penceramah luar, dan perjumpaan bersama ibu bapa bagi menggalakkan intervensi yang dijalankan dan untuk memberi penghargaan kepada pelajar yang teribat.

ANALISIS DAN PENGUMPULAN DATA:

1. Kaunselor menyediakan 3 set data utama untuk setiap pelajar sebagai penunjuk kepada prestasi proses intervensi. Penunjuk yang digunakan ialah gred bagi 5 subjek asas akademik, purata gred kumulatif dan perbandingan skor pelajar bagi peperiksaan kompetensi negeri untuk tahun sebelumnya dan pada akhir tahun tersebut.
2. Peserta-peserta mendapat sejumlah 10A, 45 B, 34 C,25D dan 51 F (selepas intervensi), berbanding 5A,35B,27C, 24D dan 74F (pada awal tahun), iaitu peningkatan 15 A dan B.
3. Berdasarkan peperiksaan kompetensi pula, 24(72%) peserta mencapai tahap “profisien” berbanding 22(66%) pada tahun sebelumnya.
4. Pada akhir tahun, 31 daripada 33 peserta berjaya naik ke tingkatan yang seterusnya, manakala hanya 2 orang yang masih kekal di tingkatan yang sama.

ETIKA KAJIAN :

1. Purata gred kumulatif menggunakan skala 4 perpuluhan.
2. Kajian akan lebih baik sekiranya data dikumpulkan dari segi persepsi pelajar berkenaan pengetahuan spesifik yang diperoleh atau kemahiran yang dibina daripada setiap komponen dalam intervensi tersebut.

HASIL :

1.Kajian ini menunjukkan bagaimana kaunselor sekolah dapat membangunkan, menerajui dan menilai program mereka yang berdasarkan kepada data yang mereka kumpul sendiri sebagai respon kepada keperluan pihak sekolah.
2.walaupun data tidak signifikan secara statistik, namun ianya signifikan secara praktikal, dan kebanyakan pelajar yang terlibat berjaya meningkatkan gred dan melepasi kriteria untuk naik ke tingkatan seterusnya.

Journal 2


Teacher Misconceptions and Understanding of Cooperative Learning : An Intervention Study

By : Mary Koutselini (University of Cyprus, Nicosia, Cyprus)

PERSOALAN KAJIAN :

1. Dapatkah kefahaman dan sikap guru-guru terhadap pembelajaran kooperatif diubah?
2. Apakah punca keengganan guru menggunakan pembelajaran kooperatif?
3. Apakah salah tanggapan guru terhadap pembelajaran kooperatif?
4. Dapatkah kajian ini membantu guru membina ciri-ciri yang membezakan pembelajaran kooperatif dengan kerja berkumpulan?

SAMPEL DAN SETTING KAJIAN :

94 orang guru sekolah menengah yang dibahagikan kepada 4 kumpulan terlibat dalam kajian ini. Kumpulan pertama terdiri dari 28 guru Bahasa Greek, kumpulan 2-24 orang guru Bahasa Inggeris, kumpulan 3 – 20 orang guru Matematik dan kumpulan 4 – 22 orang guru Pendidikan Jasmani. Terdapat 58 orang guru wanita dan 34 orang guru lelaki yang mempunyai pengalaman mengajar selama 2-5 tahun.

METODOLOGI :

1. Kajian ini melibatkan 6 perjumpaan selama 4 jam, sekali dalam seminggu. Kajian ini dibina sebagai sebuah kajian tindakan yang melibatkan enam kitaran tindakan reflektif yang bertimbal balik.
2. Pendekatan secara fenomenografi juga dilaksanakan melalui perbincangan terbuka di awal perjumpaan berkenaan pengetahuan dan persepsi guru terhadap pembelajaran kooperatif. Semua idea diletakkan dalam slaid powerpoint semasa perbincangan berlangsung.
3. Senarai semak digunakan sebagai ujian pra dan post bagi intervensi ini.
4. Pembelajaran ‘experiential’ juga digunakan dalam kajian ini dalam bentuk kumpulan pembelajaran kooperatif formal dalam 2 fasa.

ANALISIS DAN PENGUMPULAN DATA:

Data yang diperolehi daripada senarai semak dianalisis menggunakan ujian non-parametric Wilcoxon dan didapati terdapat perbezaan yang signifikan antara ujian pra dan pos. Ujian pos menunjukkan bahawa terdapat perubahan drastic di mana lebih ramai yang bersetuju dengan pembelajaran kooperatif. Ujian pra dan pos ini adalah dalam bentuk senarai semak ke atas pembelajaran kooperatif, di mana peserta dikehendaki menjawab "Ya" atau "Tidak" terhadap 23 pernyataan dalam Senarai Semak Pembelajaran Kooperatif.

ETIKA KAJIAN :

Kitar 1 – guru mengenalpasti dan huraian awal berkaitan salah tanggapan mereka.
Kitar 2 – peserta membina satu senarai semak yang digunakan sebagai ujian pra mereka berkenaan salah tanggapan mereka.
Kitar 3 – peserta menjalankan simulasi kerja berkumpulan dan membuat refleksi tentang proses yang dilalui dan hasil akademiknya.
Kitar 4 – menekankan pengalaman belajar secara kooperatif.
Kitar 5 – peserta mengenalpasti dan merefleksi tentang ciri-ciri luaran dan dalaman pembelajaran kooperatif.
Kitar 6 – peserta menjalankan ujian pos menggunakan senarai semak dan membuat refleksi terhadap pengalaman belajar secara kooperatif.

Pembelajaran ‘Experiential’
Fasa 1 – simulasi kerja berkumpulan
Fasa 2 – simulasi pembelajaran kooperatif

HASIL :

Kajian ini berjaya mengubah sikap, persepsi dan kepercayaan guru sekolah menengah terhadap pembelajaran kooperatif yang negatif pada mulanya kepada positif.
Hasil utama kajian ini ialah :
- Perubahan konseptual daripada salah tanggapan kepada pembinaan pengetahuan secara ‘experiential’
- Perubahan sikap daripada penolakan kepada pembinaan motivasi dan kepercayaan terhadap nilai pembelajaran kooperatif.

Journal 3

PERCEPTIONS OF SATISFACTION AND DEEPER LEARNING IN AN ONLINE COURSE

By : Leah E. Wickersham (Texas A&M University), Patricia McGee (University of Texas)

PERSOALAN KAJIAN :

1. Adakah prinsip pembelajaran mendalam (deeper learning principles) terbukti hadir dalam kursus yang dijalankan secara ‘online’ dengan menggunakan instrumen bancian ‘Distance Education Learning Environments Survey’?
2. Adakah pelajar berpuas hati dengan kursus yang dijalankan secara ‘online’?

SAMPEL DAN SETTING KAJIAN :

Kajian ini melibatkan seorang pengajar dan 30 orang pelajar yang mengikuti kursus siswazah yang ditawarkan secara ‘online’ keseluruhannya. Pelajar-pelajar ini dibahagikan kepada 6 komuniti pembelajaran secara maya yang berbeza. Namun, hanya 11 orang pelajar/responden sahaja yang melengkapkan soal selidik DELES ini.

METODOLOGI :

Tenaga pengajar telah mereka dan membangunkan kursus ini dengan menerapkan pembelajaran secara mendalam. Kajian ini juga melibatkan pemerhati/penganalisis yang akan menentukan sama ada kursus yang direka ini menyediakan aktiviti yang menyokong pembelajaran secara mendalam berpandukan sistem pengurusan kursus (CMS).
Kajian ini menggunakan instrumen yang telah disahkan iaitu Distance Education Learning Environments Survey (DELES), yang menyediakan data dan mengumpul persepsi para pelajar. Soal selidik ini diadakan 3 kali dalam semester kursus ini.

ANALISIS DAN PENGUMPULAN DATA:

Data daripada soal selidik DELES dipersembahkan dalam 3 bentuk :
1. Pengkaji menyediakan analisis berkaitan prinsip pembelajaran mendalam sepertimana yang direfleksikan menerusi rekabentuk kursus.
2. Pengkaji berkongsi tentang persepsi pelajar.
3. Amalan yang terbaik sepanjang kursus ini dikenalpasti.

ETIKA KAJIAN :

Pengkaji berbincang dan bersetuju tentang protokol dalam berkolaborasi yang terdiri daripada merekod dan mengumpul maklumat, diikuti dengan menghuraikan situasi, membincangkan apa yang sedang berlaku, dan menentukan sama ada perubahan perlu dilakukan ke atas rekabentuk pengajaran.

HASIL :

Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar berpuas hati dengan kursus yang dijalankan tetapi segelintir tidak berpuas hati dengan “persekitaran” pembelajaran secara ‘online’. Prinsip pembelajaran mendalam juga didapati hadir pada tahap sederhana-tinggi ke tinggi sepertimana yang dianalisis oleh pemerhati. Pengajaran secara ‘online’ memerlukan penyeliaan dan proses refleksi dari pihak pengajar dan pelajar yang kerap dan berterusan. Penilaian ‘real-time’ dapat mengelakkan pelajar jarak jauh daripada tidak melibatkan diri secara aktif.

BANDINGKAN MASALAH YANG DIKAJI ANTARA JURNAL

BANDINGKAN BAGAIMANA PENGKAJI MELAKUKAN KAJIAN TINDAKAN

Apa yang dipelajari daripada ketiga-tiga jurnal tersebut.

  • Berdasarkan 3 jurnal setiap orang yang telah dibaca, BAGAIMANA kajian tindakan dilakanakan oleh 3 penulis yang berberlainan.
  • Apakah persamaan dan perbezaan?
  • Bagaimana anda melakukan kajian tindakan anda berdasarkan JURNAL dan buku yang telah anda baca