BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 20, 2010

REFLEKSI >>> DPLI UKM JUL '09

A) KURIKULUM

Segala teori yang telah dipelajari dalam subjek-subjek yang perlu diambil sepanjang DPLI banyak membantu saya menyelesaikan tugasan semasa latihan mengajar di mana guru-guru praktikal diberi pelbagai jawatan dalam jawatankuasa sesuatu majlis atau program yang ingin pihak sekolah adakan.Sebagai contoh,subjek pengurusan ko-kurikulum dan sukan banyak membantu saya semasa menjadi pegawai teknikal untuk beberapa acara padang dan balapan.

Subjek yang amat membantu saya semasa menjalankan proses P&P ialah Kaedah Mengajar, Psikologi Pendidikan, dan Kajian Tindakan terutama dalam merancang pengajaran saya dan melakukan proses penambahbaikan terhadap proses P&P yang saya kendalikan. Saya dapat bereksperimentasi dengan pelbagai kaedah,strategi,pendekatan dan teori dalam pengajaran.Situasi ini telah mengajar saya bahawa kerjaya sebagai seorang guru amat menarik dan bermakna kerana guru perlu sentiasa kreatif dalam teknik pengajaran mereka dan perlu sentiasa peka dengan ilmu-ilmu pendidikan semasa yang sentiasa berkembang dan berevolusi.

Subjek-subjek berkaitan masalah pembelajaran pula banyak memberi saya maklumat untuk mengenali pelajar-pelajar saya. Saya dapat mengenali pelajar melalui ciri-ciri fizikal mereka dan juga tingkah laku yang mereka pamerkan. Namun begitu, pengetahuan saya dalam bidang pendidikan khas masih terlalu sedikit terutamanya dalam menyediakan aktiviti atau strategi pengajaran yang dapat membantu meningkatkan potensi diri pelajar bermasalah pembelajaran. Saya perlu mendalami kaedah-kaedah pengajaran yang bersesuaian dan efisien bagi pelajar-pelajar ini. Saya perlu melanjutkan pelajaran ke tahap Masters dalam bidang pendidikan khas untuk menjadi seorang guru pendidikan khas yang dapat menyumbang kepada bidang ini.


Subjek RDK pula memberikan pengalaman yang tidak ternilai kerana program RDK yang telah dijalankan di Besut, Terengganu ini telah berjaya menimbulkan sifat prihatin dalam diri saya terhadap golongan kurang upaya dan menimbulkan 'chemistry' antara diri saya dengan pelajar-pelajar khas tersebut. Secara tidak langsung, program ini telah menyediakan saya untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran semasa latihan mengajar di sekolah.


B) KO-KURIKULUM (termasuk BIP)

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bergelar pelajar DPLI UKM banyak mengubah diri saya dari jasmani, emosi, rohani dan sosial. Sebagai contoh, sewaktu BIP dijalankan di Pangkor, saya telah mengalami situasi yang amat menakutkan dimana saya tidak sedar bahawa saya mengalami 'anxiety' yang menyebabkan saya mengalami 'palpitation' yang mengakibatkan saya letih,sesak nafas, sakit dada dan berasa hendak pitam. Walau bagaimanapun,saya tetap menjalankan beberapa aktiviti iaitu 'abseiling' dan jungle tracking. Semasa menjalankan aktiviti ini, rakan-rakan sekumpulan amat mengambil berat dan banyak membantu saya semasa diserang anxiety. Sifat kerjasama serta prihatin yang mereka tunjukkan merupakan bukti bahawa pelajar-pelajar DPLI merupakan individu yang mempunyai sahsiah yang baik untuk menjadi seorang guru.Situasi yang saya lalui juga mengajar saya untuk banyak bersabar dan redha serta bertawakkal kepada Allah S.W.T. Segala yang saya lalui merupakan ujian daripada-Nya untuk menjadikan saya insan yang lebih kuat. Ujian yang saya hadapi juga memberikan saya ilmu yang baru di mana saya dapat memahami dan mempunyai sifat empati terhadap pelajar-pelajar saya yang turut mempunyai simptom-simptom anxiety. Secara tidak langsung, saya dapat membantu salah seorang pelajar dalam kumpulan saya sewaktu program RDK untuk mengatasi masalah 'anxiety'. Pelajar tersebut takut untuk berada di kawasan terbuka namun saya memujuknya untuk berhadapan dengan situasi yang ditakuti beliau dalam usaha mengatasi perasaan 'anxiety' tersebut. Hal ini juga menyedarkan saya bahawa persepsi sesetengah masyarakat yang melabelkan golongan ini sebagai gila adalah tidak benar sama sekali. Apa yang dialami oleh pesakit adalah amat benar sekali bagi mereka tetapi dilihat tidak logik bagi orang lain. Mereka sebenarnya dapat dibantu dan boleh dirawat dengan terapi tingkah laku kognitif untuk berfungsi seperti biasa. Hal ini telah memberi sedikit pengetahuan kepada saya untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar saya kelak dan membantu saya menjadi seorang guru yang lebih dekat dengan pelajar.

Selain itu, aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan juga banyak membantu saya mengasah kemahiran berkomunikasi saya dan meningkatkan kemahiran bersosial dengan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti sukan yang dijalankan pula meningkatkan kesihatan jasmani dan melengkapkan diri kami dengan kemahiran-kemahiran dalam bidang sukan yang perlu untuk menjadi guru yang versatil.Secara keseluruhannya, program DPLI UKM telah melengkapkan diri kami dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna untuk diaplikasikan semasa menjalankan tanggungjawab kami sebagai pendidik di sekolah nanti.

0 comments: